Mengapa Perlu Berdoa?



Mengapa kita perlu berdoa? Bukankah Allah SWT sememangnya tahu semua keinginan kita tanpa kita berdoa pun? Bukankah Allah SWT mengetahui apa yang terlintas di fikiran kita? Mengapa kita perlu berdoa lagi kerana bukankah berdoa itu sama sahaja seperti apa yang ada di dalam hati dan fikiran kita?

Suatu ketika dahulu saya sering putus asa di dalam berdoa. Kekadang terasa sangat penat dan bosan berdoa kerana sangat penat menunggu apa yang diinginkan dimakbulkan oleh Allah SWT. Sejak mengenal Allah SWT sehinggalah beberapa tahun yang lepas, saya sering memikirkan mengapa perlunya saya berdoa sedangkan Allah SWT mengetahui segala apa yang saya inginkan.

Mengapa Perlu Berdoa?
Berdoa adalah memohon dan meminta serta berharap. Pemohon sudah pasti memiliki darjat yang lebih rendah daripada Pemberi. Begitulah kita dengan Allah SWT. Jelas menunjukkan kita memerlukan Allah SWT dan memohon pelbagai perkara di dalam kehidupan kita ini. Darjat kita terlalu jauh malah amat jauh sehinggakan langsung tiada darjat atau juga sebenarnya tidak boleh membuat perbandingan langsung berbanding kebesaran Allah SWT.

Berdoa itu merendahkan darjat kita sehingga daripada kita rasa ada apa-apa kepada tiada apa-apa langsung. Kita meletakkan diri kita benar-benar berada di bawah. Kita memohon dan berharap sesuatu daripada Allah SWT. Dengan berdoa kita lebih jelas siapa kita dan kepada siapa kita memohon. Kita sedar kedudukan kita dan kita sedar kedudukan Allah SWT. Kita sedar kita hanyalah hamba ciptaan Allah SWT dan Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Besar.

Namun persoalan besar di sini adalah adakah kita benar-benar SEDAR dan merasakan sebenarnya kita ini hamba yang lemah? atau sekadar tahu?

Doa memerlukan KESEDARAN.
Apabila kita berdoa tanpa memiliki KESEDARAN yang kita ini lemah di sisi Allah SWT, kita tetap ego dan berasa hebat di sisi Allah SWT. Kita memohon tetapi permohonan kita tidak diserahkan kepada Allah SWT. Segala keinginan yang kita inginkan adalah sepenuhnya mengikut kehendak kita seluruhnya dan kita tidak dapat menerima kehendak Allah SWT. Lalu di dalam tidak sedar kita menganggap Allah SWT hanyalah sebagai Tuhan melakukan kerja untuk menunaikan segala kehendak kita.

Kalian semua,
Apabila kita berdoa, kita menyatakan keinginan kita kepada Allah SWT dengan penuh KESEDARAN yang kita ini lemah, bodoh, tidak berdaya dan benar-benar mengharapkan pertolongan Allah SWT. Tetapi dalam masa yang sama kita sedia menerima segala ketentuan yang Allah SWT tetapkan. Kita juga akan terus mengikut segala ketetapan yang Allah SWT perintahkan kepada kita. Maka kita benar-benar akan berserah secara total kepada Allah SWT.

Orang yang beriman itu tidak pernah kecewa kerana sentiasa menerima ketentuan Allah SWT dan tidak pernah putus asa di dalam mengikut ketetapan yang Allah SWT tetapkan. Orang yang beriman sentiasa aktif. Melakukan segala kerja dan berusaha melakukannya sebaik mungkin di atas nama Allah SWT. Urusan rezeki dan segala penyelesaian hidup adalah hak Allah SWT yang kita tidak boleh pertikaikan kerana ia bukan hak kita.

Di dalam masa yang sama juga, kita yakin dan prasangka baik dengan Allah SWT bahawa Allah SWT akan memakbulkan segala permintaan kita. Kita sangat yakin dengan kehendak Allah SWT di mana kehendak Allah SWT merupakan ketentuan yang terbaik di sisiNya untuk diri kita.

Bagaimana untuk yakin? Kita perlu mencapai kesedaran. Apabila kita berada di dalam KESEDARAN, pasti kita sangat yakin,

Kalian yang dihormati,
Memiliki kesedaran ini perlu dilatih. Ia tidak mampu dimiliki secara terus tetapi mampu dimiliki seawal latihan. Ia akan terus meningkat tanpa henti dan penghujung. Kesedaran ini ada turun naiknya tetapi apabila kita sudah mencapai ke satu tahap, ia akan tersimpan di dalam minda bawah sedar kita dan mudah untuk dicapai kembali jika kesedaran kita menurun.

Semoga kesedaran kita akan hal Allah SWT (sifat dan perbuatan Allah SWT) sentiasa meningkat dari masa ke semasa dan menjadikan kita benar-benar merasai kehidupan hidup berTuhan yang dikehendaki Allah SWT yang mana akan membawa kepada kejayaan dunia dan akhirat seperti yang telah Allah SWT janjikan.

thumbnail
Judul: Mengapa Perlu Berdoa?
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh

Artikel Terkait amalan berdoa, berdoa dengan betul, cara berdoa, doa orang islam, ibadah, kenapa berdoa :

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2013. About - Sitemap - Contact - Privacy
Template Seo Elite oleh Bamz