Terbuka Pintu Hati Untuk Al-Quran. Ayahlah orang pertama cuba mengajar al-Quran kepada saya. Setiap malam, kami (saya dan kakak) akan menghadap Ayah bersama dengan muqqadam. Belajar al-Quran bukanlah minat saya. Saya terasa sangat sukar. Malah setiap kali tiba saat belajar, perasaan malas, tidak seronok, rasa terpaksa dan tertekan menyelubungi diri.
Ia satu saat yang paling membosankan!
Akibatnya, saya sering tergagap-gagap apabila berhadapan dengan ayah. Setiap kali saya gagal membaca dengan lancar, ayah membuat sergahan. Sergahan yang boleh didengari seisi rumah. Nada suara yang boleh meruntuhkan semangat waja seorang kanak-kanan berusia 6-7 tahun.
Ayah sememangnya seorang guru yang terkenal dengan sifat garangnya. Di sekolah, anak-anak muridnya sudah tahu, "Emmmm.... Cikgu Ibrahim, garang sangat". Ia menjadi semakin garang apabila mengajar anak sendiri. Saya sentiasa kecut perut, takut dan berdebar-debar apabila tiba saat-saat senja melabuhkan tirainya.
Akhirnya setiap kali disergah, airmata mengalir laju. Ia bukan hanya membasahi pipi tetapi manik-manik halus menitis jatuh menimpa helaian muqqadam. Pandangan saya kabur. Huruf-huruf hampir tidak kelihatan. Berbalam-balam. Sambil teresak-esak, saya menyapu kelopak mata. Tersedu-sedu dalam kesedihan, ketakutan dan rasa kecil hati.
"Pergi masuk... marah sedikit menangis, marah sedikit menangis. Bila nak pandai!"
Saya terus meluncur ke bilik. Menyembamkan diri ke bantal. Nun jauh di hati saya terasa sangat lega daripada terus berada dalam keadaan ketakutan dan perasaan yang sentiasa berdebar-debar. Ummpp.... saya berterima kasih dengan air mata yang mengalir. Air mata itulah yang menyelesaikan masalah.
Besoknya apabila disergah, ulangan kisah semalam berlaku. Ayah sergah, saya menangis, air mata tumpah ke atas helaian muqqadam dan saya diminta masuk ke bilik. Hari-hari seterusnya saya mendapat akal. Ketika saat-saat berhadapan dengan ayah, saya mula seronok menunggu ayah memarahi dan menyergah saya. Air mata seolah-seolah bersahabat baik. Ia sangat hampir dengan kelopak mata. Dengan satu sergahan sahaja, ia keluar meleleh-leleh.
Akhirnya, dalam diam-diam tanpa saya sedari ayah sudah tidak menjadi guru Quran saya lagi. Maksudnya proses pembelajaran Quran terbantut dan terhenti ketika usia tujuh tahun tanpa dapat menghabiskan bacaan. Saya cuma tahu dan hafal beberapa surah sahaja – cukup-cukup – untuk dibaca semasa menunaikan solat lima waktu. Itu pun belum tentu benar atau salah bacaannya. Selebihnya saya adalah manusia yang "buta Quran".
Hampir 38 tahun yang lampau saya berasa seronok kerana mengeluarkan airmata ketika belajar Quran dan lebih "lega" apabila diminta untuk memberhentikan bacaan apabila air mata tersebut mengaburi pandangan. Ia langsung tidak memberi kesan kepada perjalanan kehidupan. Saya kekal begitu sehinggalah berjaya melanjutkan pelajaran ke MRSM Kota Bharu.
Buta al-Quran dan berada di MRSM nyata tidak membebankan. Saya tidak kisah dan bersedih hati walaupun tidak tahu membaca Yaasin. Jika ada majlis doa selamat dan membaca Yaasin, saya akan cuba mengelak. Mencari jalan supaya tidak perlu menghadiri program tersebut. Malah jika terpaksa hadir sekali pun, saya tidak rasa malu atau terbeban dengan program seumpama itu.
Saya hanya menggerak-gerak mulut mengikut mereka yang lain.
Namun bila meningkat dewasa, berjawatan tinggi dan mula mengerti kehidupan selepas kematian, saya benar-benar dalam ketakutan. Jauh di sudut hati saya rasa serba kekurangan. Gelisah jiwa melihat orang berlagu membaca al-Quran. Rasa terhina bila menghadiri majlis-majlis kesyukuran, doa selamat, kematian dan keramaian yang bercorak keagamaan. Berdebar-debar setiap kali orang menghulurkan surah Yaasin. Apatah lagi kalau ada insan yang menunjukkan tangan, memberi isyarat mahu saya ke hadapan mengetuai solat.
Saya iri hati melihat orang membaca al-Mathuraat ketika waktu terluang. Saya mengangguk-angguk bila Abah mengajar beberapa ayat ringkas untuk dijadikan amalan. Namun ia berlalu dan hilang begitu sahaja. Menghafal ayat-ayat al-Quran ternyata sukar. Lidah kelu, ingatan lemah dan motivasi diri tidak segagah mana. Saya lebih tekun menulis daripada menghafal wirid-wirid selepas sembahyang. Terasa ia benar-benar sukar!
Malah dengan anak sendiri pun saya cemburu melihat mereka sudah khatam al-Quran. Membaca ayat-ayat Allah – yang kelihatan asing – selancar saya membaca novel, buku perakaunan atau surat khabar. Ketika saya kagum dengan mereka, sesekali menyusuk perasaan hiba dan sayu di atas kekurangan diri.
Saya tidak upaya untuk meningkatkan kelemahan diri. Perasaan malu, tidak berkeyakinan dan selesa dengan keadaan semasa menyukarkan keadaan. Lebuhraya perubahan nyata tidak terbina. Lalu saya membuat keputusan, biarlah saya menanti saat-saat kematian dengan kekurangan tersebut. Tiada apa yang boleh saya lakukan!
Namun saya cuba membina keyakinan diri supaya tidak tertekan dengan apa yang kurang meskipun ia kelihatan sukar. Benar, saya tidak pandai dan buta al-Quran dan sukar membuat amalan khusus tetapi saya fikir saya bukanlah manusia jahat, suka berhasad dengki dengan orang atau berburuk sangka dengan mereka yang hampir. Pada ketika itu saya berharap dan berdoa, mudah-mudahan Allah memberi pengampunannya kepada saya di atas kekurangan dan kelemahan diri.
Tidak pernah terlintas yang saya akan belajar Quran ketika usia menghampiri 41 tahun. Ketika saya sudah tewas dan bersedia untuk menerima kematian dalam keadaan buta Quran, saya dijemput menunaikan fardhu haji. Saya menangis dan merayu mengadu kepada Allah di atas segala kekurangan diri.
Rayuan dan pengaduan yang mencerminkan ketakutan, kefakiran dan kehinaan diri terhadap Allah yang Maha Perkasa. Benar, begitulah sifat Maha Pengasih dan sifat Maha Penyayang Allah terhadap hamba-Nya nyata cukup luas. Saya terbuka pintu hati untuk mula belajar al-Quran ketika membuat keputusan hendak menunaikan fardhu haji.
Ringkasnya, saya khatam semasa berada di Mekah dan berjaya menamatkan bacaan terjemahan semasa berada di Madinah.
Ia satu pengalaman yang sangat menakjubkan!
Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim
(www.iluvislam.com)
Judul: Terbuka Pintu Hati Untuk Al-Quran
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh 5:15 AM
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh 5:15 AM
0 comments:
Post a Comment